Dakwaan Bayar RM3.5 Juta Untuk Mengaku Lakukan Pembunuhan Adalah Mengarut - Najib



Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganggap dakwaan tertuduh ketujuh dalam kes pembunuhan Datuk Kevin Morais bahawa beliau menawarkan RM3.5 juta kepadanya untuk mengaku melakukan pembunuhan itu sebagai mengarut.

Najib berkata, terdapat tujuh individu dituduh dalam kes pembunuhan timbalan pendakwa raya berkenaan dan hanya tertuduh ketujuh membuat dakwaan sedemikian.

"Hanya orang kena tuduh (OKT) yang ketujuh tiba-tiba mendakwa saya menawarkan RM3.5 juta melalui seorang pegawai penjara yang tidak dinamakan untuk mengaku membunuh Kevin.

"Sebelum menuduh saya, OKT ketujuh ini juga pernah menuduh adik kepada Kevin Morais menawarkan RM2 juta kepadanya untuk mengaku membunuh Kevin.

"Malah sebulan sebelum itu, OKT ketujuh ini juga mendakwa bahawa Dr Kunaseegaran yang turut didakwa dalam kes ini telah menawarkan RM1.5 juta bagi mengaku membunuh Kevin," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya malam ini.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berkata dakwaan OKT ketujuh tersebut mengaitkan namanya sebagai sangat mengarut.

"Tuduhan OKT ketujuh ini untuk melibatkan nama saya nampaknya sangat mengarut," katanya.


Terdahulu, Bernama melaporkan tertuduh ketujuh yang didakwa membunuh Kevin membuat pengakuan ditawar RM3.5 juta daripada Najib di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk melakukan pembunuhan berkenaan.

S. Ravi Chandaran, 47, turut mengakui tawaran itu dibuat melalui pegawai penjara dan selai itu, dia turut menerima tawaran daripada adik Kevin Morais sendiri iaitu Datuk Richard Morais untuk membuat pengakuan sama.

Ravi Chandaran yang juga saksi pembelaan keenam berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili pakar patologi tentera, Dr R. Kunaseegaran, pada prosiding membela diri hari ke-24.

Selain itu, Najib menambah bahawa editorial Bernama sebagai nakal.

"Mereka yang hanya membaca tajuk berita berkenaan pasti akan mendapati sesuatu yang pelik selepas membaca sepenuhnya kandungan artikel tersebut.

"Editorial Bernama juga agak nakal dengan menggunakan tajuk sensasi ala tabloid seperti itu dan nescaya mereka yang malas membaca akan terus percaya pada tajuk itu semata-mata," kata Najib.

Menurut Najib, pertama kali nama beliau dikaitkan dengan pembunuhan Kevin dibuat oleh portal Sarawak Report yang mendakwa lelaki itu dibunuh kerana terlibat dalam penyiasatan kes 1MDB ataupun SRC International Sdn Bhd.

"Pada masa itu, saya menganggap tohmahan Sarawak Report ini juga amat mengarut kerana ramai yang terlibat dalam siasatan untuk setiap kes.

"Tidak logik bahawa Kevin seorang yang dijadikan mangsa tetapi ramai lagi yang menyiasat masih hidup, bukan?

"Oleh kerana pasukan propaganda Pakatan bekerja kuat dalam menanam kebencian terhadap saya, maka ramai termakan fitnah dan mempercayai yang saya terlibat walaupun tidak logik sama sekali," katanya.

Menurut Najib, pada akhir Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull turut menafikan tanggapan umum bahawa pembunuhan Kevin mempunyai kaitan dengan kes dana RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd mahupun 1MDB.

"Ini secara sangat jelas telah mematahkan fitnah dan tohmahan Sarawak Report," kata Najib.

KONGSI KE GOOGLE+

About Myfokus Online

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment