Seminggu Selepas Didenda RM800, Warga Emas Sekali Lagi Ditahan Tidak Berpuasa

Sekadar Hiasan

YAN - Meskipun baru sahaja membayar denda sebanyak RM800 dua minggu lalu kerana tidak berpuasa, seorang warga emas ditahan semula pada pagi tadi oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) atas kesalahan sama dalam Operasi Ops Ramadan.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Yan, Mohamad Tarmizi A Karim, warga emas berkenaan ditahan untuk kali kedua pagi semalam ketika sedang leka menghirup teh ais di sebuah kedai Cina di Pekan Sungai Yan.

Katanya, peniaga berkenaan memberi alasan tidak dapat berpuasa atas faktor kesihatan kerana cepat letih dan lesu.

“Namun alasannya itu tidak diterima oleh pihak penguatkuasa dan bertindak tegas dengan membawanya ke pejabat untuk soal siasat,” katanya.

Menurut Mohamad Tarmizi, operasi berkenaan disertai 16 anggota penguatkuasa Jaik, Pejabat Agama Islam Kuala Muda dan Yan serta bantuan empat orang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Yan.

Katanya, tiga lokasi telah diserbu dalam Ops terbabit iaitu dua buah kedai orang bukan Islam di Singkir Darat dan Sungai Yan yang menjual makanan kepada orang Islam serta sebuah rumah milik peniaga beragama Islam di Sungai Limau.

Warga emas yang ditahan baru melakukan kesalahan sama.

Menurut Mohamad Tarmizi, pihaknya hanya berkesempatan menahan empat orang sahaja di kedai kopi di Pekan Sungai Yan manakala di rumah persendirian di Sungai Limau tangkapan gagal dilakukan.

“Meskipun gagal melakukan tangkapan pihak penguatkuasa tetap menunggu di kawasan rumah berkenaan kerana yakin itu adalah lokasi panas.

“Sepanjang menunggu hampir 10 buah motosikal dan kereta yang keluar masuk dari rumah berkenaan namun tidak berlaku sebarang proses jual beli kerana peniaga berkenaan sudah pun mengetahui kehadiran penguatkuasa,” katanya.

Mohamad Tarmizi berkata, terdapat juga cubaan menipu anggota penguatkuasa dalam kalangan mereka yang ditahan.

“Seorang lelaki berusia 60 tahun yang ditahan di kedai kopi Pekan Sungai Yan enggan mengakui dirinya tidak berpuasa namun begitu hasil siasatan kita menjumpai kotak rokok di dalam pakaiannya,” katanya.

Mohamad Tarmizi berkata, empat orang yang ditahan berusia 52 hingga 62 tahun dan bekerja sebagai peniaga, pesawah serta buruh binaan.

“Kesemua mereka akan didakwa bawah Seksyen 43 dibaca bersama seksyen 14(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 atas kesalahan cubaan tidak menghormati bulan Ramadan

“Sabit kesalahan mereka akan dikenakan denda sebanyak RM1,000 dan RM2,000 bagi kes berulang atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, “katanya.

KONGSI KE GOOGLE+

About Myfokus Online

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment