Bintang Utama Baba Nyonya Meninggal Dunia Akibat Jangkitan Kuman Di Paru-paru


KUALA LUMPUR 13 Jun - Pelakon utama sitkom Baba Nyonya yang popular pada era 90-an iaitu Datuk Kenny Chan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di Melaka akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Menurut isteri mendiang iaitu Datin Fern Loo kepada sebuah portal berita tempatan, pelakon veteran berusia 68 tahun itu telah dimasukkan ke hospital sejak Isnin lalu setelah tahap kesihatan Chan merosot teruk.

“Pada awalnya nampak seperti tidak begitu serius dan kami fikirkan dia akan kembali stabil serta sembuh seperti sedia kala,” memetik kenyataannya.

Watak Bibik Kim Neo yang didukung oleh Chan cukup dikenali sehinggakan sitkom Baba Nyonya berjaya mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai siri komedi paling lama disiarkan di negara ini.

Di samping watak lakonan Chan yang masyhur, satu lagi karakter yang turut sama mengecap kemasyhuran ialah watak Ah Chim, kawan baik kepada Bibik Kim Neo digalas oleh Chee Hood Siong, yang telah meninggal dunia pada 2011.

Populariti luar biasa yang diraih program tersebut bukan sahaja membuka mata penduduk Malaysia akan kewujudan etnik minoriti tersebut, sekali gus memperkenalkan budaya milik kaum peranakan itu ke seluruh pelusuk tanah air.

Diterbitkan sebanyak 509 episod untuk siaran TV1 oleh organisasi penyiaran milik kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), sitkom tersebut mula menemui penonton sekitar lewat 80-an sebelum ditamatkan pada awal era milenium (2000).

Kemudiannya, Chan yang juga berkemahiran dalam bidang kulinari memulakan empayar perniagaan dengan pembukaan restoran Big Nyonya yang menawarkan sajian tradisi diwarisi daripada nenek moyangnya sejak turun-temurun.

Sedar usianya semakin meningkat, perniagaan tersebut kini diwariskan kepada tiga anaknya iaitu Darrick, Allen dan Shalyn yang giat meneruskan legasi perniagaan diasaskan ayah mereka itu termasuk kolaborasi dengan Tourism Malaysia.

Pada 2011, Chan diberi peluang melakonkan semula watak ikonik Bibik Kim Neo menerusi penampilan istimewa dalam filem Nasi Lemak 2.0, arahan Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee.

Meskipun dilanda kontroversi, karya sulung sutradara sensasi yang menelan kos pembikinan kira-kira RM1.5 juta itu menerima impak positif apabila memperoleh kutipan pecah panggung menghampiri RM7 juta.

KONGSI KE GOOGLE+

About Myfokus Online

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment