7 Keluarga Beraya Tanpa Rumah Selepas Dihalau Dari PPR Padang Tembak


GEORGETOWN - Tujuh sekeluarga memohon Kerajaan Pulau Pinang membuka pintu rundingan dalam menyelesaikan masalah kediaman mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak, di sini.

Kumpulan itu mendakwa mereka diusir dari kediaman masing-masing pada 1 Jun lalu setelah menerima notis pada 29 Disember tahun lalu.

Penyelaras Jawatankuasa Projek Perumahan Awam Padang Tembak, R Kathiges berkata, semua yang terlibat kecewa apabila permintaan mereka untuk berbincang dengan Kerajaan Pulau Pinang tidak dihiraukan.

“Saya bagi pihak penduduk merayu Kerajaan Pulau Pinang memberi ruang kepada mereka untuk berbincang tentang masalah dihadapi. Mereka diusir dengan alasan melanggar syarat ditetapkan, antaranya berkahwin dengan warga asing dan mempunyai tunggakan sewa yang tinggi.

“Penduduk sudah dua kali menghantar memorandum dan beberapa surat, namun tiada maklum balas. Lebih menyedihkan, kediaman mereka kini sudah disita dan penduduk tiada tempat berteduh. Tambahan pula, ia berlaku menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada media tadi.

Terdahulu, tujuh keluarga tersebut berkumpul di hadapan pejabat kerajaan di tingkat 3, Komtar bagi menyatakan protes terhadap tindakan pengusiran ke atas mereka.

Pekerja kedai makan, Phang Shu Min, 47, berkata, dia kecewa menerima notis pengusiran dengan alasan mempunyai tunggakan bayaran sewa.

Dia yang mendiami kediaman itu lebih lima tahun berkata, dia tidak mempunyai sebarang tunggakan dan mematuhi semua terma dan syarat untuk menduduki perumahan tersebut.

Bagaimanapun, isterinya yang merupakan warga Vietnam menyebabkan dia hilang kelayakan untuk tinggal di kediaman tersebut.

Chow Kon Yeow
Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah mempertimbangkan rayuan penduduk terlibat dan memberi tempoh enam bulan untuk mereka mencari kediaman baharu.

Menurutnya, isu utama kes tersebut adalah kesemua keluarga tersebut tidak layak untuk tinggal di kediaman tersebut kerana tidak menepati syarat ditetapkan antaranya pendapatan melebihi had ditetapkan dan berkahwin dengan warga asing.

Tambahnya, pihak berkuasa mengambil tindakan tersebut mengikut garis panduan ditetapkan.

“Kita ada 1,800 permohonan dalam senarai menunggu untuk menduduki kediaman tersebut. Jika kita masih memberi masa kepada tujuh keluarga ini, berapa lama lagi pemohon yang layak ini perlu menunggu? Ia tidak adil kepada pemohon yang layak kerana mereka perlu menunggu lebih lama lagi.

“Sepatutnya penduduk dan parti politik yang mewakili mereka menghargai apabila kerajaan negeri memberi tempoh enam bulan tambahan untuk mereka mencari kediaman baharu. Mungkin selepas ini, parti politik tersebut boleh mendengar keluhan 1,800 pemohon pula kerana mereka agak lama menunggu untuk menduduki perumahan tersebut,” katanya.

-Sinar Harian
KONGSI KE GOOGLE+

About Myfokus Online

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment