Mahathir Berbohong Bila Kaitkan Polis Dengan Pemecatan Anwar


Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor hairan dengan dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad ko­nonnya polis adalah pihak yang mendorong beliau memecat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambil menjelaskan tidak tahu apa motif bekas Perdana Menteri itu melontarkan dakwaan sedemikian, beliau berkata pihak polis tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk memecat mana-mana ahli politik.

“Saya tidak tahu kenapa dia berkata begitu dan saya tidak dapat selami pemikirannya. Polis tiada kuasa dari segi undang-undang untuk melakukan pemecatan kepada sesiapa pun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam temu bual eksklusif bersama akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily keluaran Ahad lalu, Dr. Mahathir menuduh polis yang mendorong dia sebagai Perdana Menteri untuk memecat timbalannya atas kesalahan rasuah dan liwat pada 1998.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mengambil tindakan terhadap Anwar setelah polis mengemukakan semua buk­ti kepadanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, setiap pelantikan dan pelucutan jawatan Timbalan Perdana Menteri bukan sesuatu yang mudah kerana ia hanya melalui cadangan Perdana Menteri de­ngan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

“Pelantikan dan pemecatan seorang Timbalan Perdana Menteri bukan seperti memetik buah kelapa, semuanya dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu.

“Polis hanyalah sebuah jabatan kerajaan yang kuasanya tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Po­lis sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan kuasa-kuasa polis dan apa yang boleh dilakukan oleh polis,” kata­nya.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Se­langor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menyifatkan Dr. Mahathir sebagai individu yang tidak bertanggungjawab selepas menuduh pihak polis mendorong beliau memecat Anwar.

Muhammad mendakwa, be­liau mendengar sendiri bagaimana bekas Perdana Menteri itu pernah berkata dia menemubual mang­sa pada ketika itu dan langsung tidak pernah menyebut tentang campur tangan polis berhubung kes berkenaan.

“Saya nak timbulkan sesuatu, kalau tak silap semalam Dr. Mahathir cuba mengubah persepsi, dia kata yang tangkap Anwar ini, yang pergi dakwa Anwar ini semua (adalah kerja) polis bukan dia, jadi terang-terang depan rakyat satu Malaysia ini,” katanya dalam forum Anda Tanya Kita Jawab bertajuk Memahami Mahathirism di Facebook UMNO Online.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa turut sena­da apabila mengakui Dr. Mahathir bercakap perkara sama ketika mengadakan pertemuan dengan beliau di pejabatnya.

“Saya secara empat mata, lepas (Anwar) kena pecat saya balik, saya pergi jumpa dia dalam pejabat, kita bercerita dia kata sama seperti diperkatakan Muhammad.

“Secara empat mata saya bertanya kenapa Datuk Seri pecat Anwar sebab semalamnya kita baharu habis mesyuarat Kabinet tapi tiba-tiba keesokan harinya Datuk Seri (Anwar) kena pecat lepas itu saya pergi pejabat dia dan dia tak sebut ketua polis pun,” katanya.

KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment