9 Projek Rumah Selangorku Dibatal Kerajaan Negeri, Rakyat Berputih Mata


SHAH ALAM – Sama ada salah pemaju atau kerajaan negeri, yang perlu difikirkan ialah nasib beribu rakyat yang telah mengemukakan permohonan dan membuat pinjaman dengan bank untuk membeli kediaman Rumah Selangorku.

Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor membatalkan sembilan projek pembinaan Rumah Selangor di enam kawasan Majlis Perbandaran termasuk Bandaraya Shah Alam (MBSA) adalah suatu langkah yang bukan sahaja mengecewakan rakyat, malah membebankan mereka.

Meskipun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri itu, Datuk Iskandar A. Samad menyatakan pembatalan projek itu disebabkan kegagalan pemaju, tetapi mustahil kerajaan negeri tidak mempunyai alternatif lain untuk menyelamatkan keadaan.

Menuding jari mencari kesalahan pihak lain sangat mudah, tetapi bagaimana pula dengan kesukaran dihadapi pemaju yang berdepan dengan pelbagai karenah birokrasi kerajaan negeri ini.

Inilah hakikat yang terpaksa dihadapi rakyat Selangor apabila tiga projek Rumah Selangorku di kawasan Majlis Perbandaran (MP) Kajang, dua projek dalam MP Selayang dan masing-masing satu projek dalam MP Subang Jaya, MBSA, MP Ampang Jaya dan MP Klang terpaksa dibatalkan pembinaannya.

Tidakkah pembatalan itu melibatkan ribuan unit kediaman yang semuanya sudah dimohon oleh rakyat?

Menurut Iskandar dalam kenyataannya kepada media, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku semalam telah bersetuju agar kelulusan bagi membina sembilan projek Rumah Selangorku dibatalkan.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, kelulusan semua projek tersebut telah dibatalkan kerana pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun dari tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Pembatalan projek tersebut yang telah diluluskan dari tahun 2014 hingga 2016 akan disahkan oleh MMKN,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri mempunyai satu jawatankuasa khas untuk memantau pembinaan Rumah Selangorku iaitu Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku.

Katanya, jawatankuasa itu dianggotai Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), wakil Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, wakil Pejabat Tanah Galian Selangor, wakil Pejabat Tanah dan Daerah terlibat dan wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat.

Tugas jawatankuasa itu ialah memantau status permohonan Kebenaran Merancang, Pelan Bangunan dan Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) oleh pemaju dan membuat lawatan tapak berkala ke projek dalam pembinaan.

“Tugas jawatankuasa itu (kononnya) untuk menyelesaikan isu berkaitan pembangunan yang melibatkan agensi teknikal seperti TNB, Air Selangor, IWK dan lain-lain, di samping melaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku untuk tindakan selanjutnya.

“Apabila pemaju diberi kelulusan untuk membina Rumah Selangorku oleh MMKN, mereka diberi tempoh dua tahun untuk memulakan pembinaan,” katanya.

Iskandar mendakwa, sebelum pembatalan itu dibuat, pihaknya telah mengeluarkan surat peringatan dan notis secara berperingkat kepada pemaju yang gagal atau lewat.

Katanya, surat peringatan dikeluarkan 12 bulan selepas kelulusan MMKN mengarahkan pemaju mengemukakan status kemajuan dalam tempoh 14 hari dan notis 14 hari selepas surat peringatan dikeluarkan bagi tujuan memulakan pembinaan atau kelulusan akan dibatalkan

Pihaknya juga ujar beliau, mengeluarkan notis akhir dalam tempoh enam sebelum tarikh luput kelulusan MMKN, di mana pemaju dimaklumkan bahawa tarikh kelulusan mereka akan luput dan selepas itu notis pembatalan.

“Kerajaan negeri sentiasa memantau projek yang telah diluluskan dan mengambil tindakan tegas ke atas pemaju yang melewatkan pembinaan projek Rumah Selangorku.

“Bagaimanapun kerajaan negeri mengambil kira masalah yang dihadapi pemaju seperti tanah, perundangan, cerun, pencerobohan dan sebagainya.

“Selain dari pembatalan kelulusan MMKN, permohonan Kebenaran Merancang untuk projek lain pemaju juga ditahan jika mereka melewatkankan pembinaan Rumah Selangorku,” ujarnya.

Beliau berkata, di bawah kerajaan negeri sekarang, pemaju tidak boleh membina Rumah Selangorku paling akhir, tetapi perlu dibina terlebih dahulu atau serentak dengan rumah harga bebas.

Ini berbeza ketika Selangor diperintah oleh Barisan Nasional (BN) yang membenarkan rumah kos rendah boleh dibina selepas rumah harga bebas siap dibina. 

KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment