Wakil Rakyat DAP dan PKR Bertikam Lidah Di Sidang DUN


Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara wakil rakyat DAP dan PKR berhubung isu penganjuran forum terbuka membincangkan masalah banjir dan tanah runtuh di negeri ini anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan pada 29 Oktober lepas.

Kekecohan tercetus apabila R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) menyifatkan penganjuran forum itu sebagai platform untuk pihak terbabit membawa satu suara partisan bagi menyalahkan kerajaan DAP Pulau Pinang terhadap kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di negeri ini.

“Fokus Penang Forum adalah untuk menyalahkan kerajaan negeri atas apa yang berlaku. Persoalan saya adakah Penang Forum mengadakan forum dengan hati terbuka atau menghentam kerajaan negeri dengan katakan semua yang berlaku salah kerajaan negeri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada persidangan DUN Pulau Pinang, di sini hari ini.

Hanya Anggota Undangan Dewan Negeri (Adun) Pulau Tikus dari DAP, Yap Soo Huey hadir pada forum dan dialog yang dihadiri kira-kira 200 hadirin anjuran Penang Forum itu.

Pemimpin Barisan Nasional (BN) yang hadir pada forum itu ialah Adun Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid, Adun Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad, Adun Teluk Bahang, Datuk Shah Headen Ayoob dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri ,Teng Chang Yeow manakala wakil daripada PKR ialah Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin, Adun Machang Bubok, Lee Khai Loon dan Adun Kebun Bunga, Cheah Kah Peng.

Cheah (PKR-Kebun Bunga) kemudiannya bangun dan menyatakan adalah tidak adil untuk menuduh Penang Forum sebagai satu partisan kerana penganjuran forum itu hanya bertujuan untuk mengemukakan pandangan dan cadangan untuk menyelesaikan masalah banjir dan tanah runtuh di negeri ini.

Rayer yang tidak berpuas hati kemudian mempertikai tindakan Adun Kebun Bunga itu dan dua lagi wakil rakyat dari PKR yang tidak mempertahankan kerajaan negeri sebaliknya hanya Adun Pulau Tikus yang bersuara pada forum itu dan tidak ada seorang daripada mereka yang hadir menyokong penjelasan Yap.

Cheah kemudiannya bangun menjelaskan tindakannya untuk tidak bersuara pada forum berkenaan kerana beliau mendengar pembentangan oleh pakar-pakar yang hadir dan memberi laluan kepada sesi pembentangan itu.

Sementara itu, Yap (DAP-Pulau Tikus) berkata selepas sesi pembentangan itu mana-mana Adun PKR yang hadir pada forum itu boleh bersuara pada sesi soal jawab, namun beliau menyifatkan mereka mungkin ‘segan’ untuk bersuara.

Norlela (PKR-Penanti) kemudiannya bangun dan berkata: “Tidak adil untuk terus menuduh saya macam ini”.

Pertikaman lidah itu dihentikan apabila Timbalan Speaker, Datuk Maktar Shapee mengarahkan Norlela duduk dan meminta Rayer meneruskan perbahasannya. ― Bernama
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment