Cerita Sebenar Tentang Jalan Pintas Rawang Yang Perlu Diketahui.


RAWANG: Jalan Pintas Rawang (Rawang Bypass) yang dirasmikan hari ini dibangunkan dengan menepati kriteria profesionalisme, keselamatan dan kelestarian. Tiga kriteria tersebut mencangkumi teras strategik Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP), pelan lima tahun akhir industri pembinaan sebelum mencapai tahun 2020.

Menurut Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof semasa berucap di majlis perasmian pagi ini, projek jalan tersebut dibina untuk menyelesaikan rungutan rakyat, terutamanya di sekitar Selayang, Rawang dan Hulu Selangor berkaitan isu kesesakan dan keselamatan yang dihadapi apabila melalui bandar Rawang.

"Jalan pintas dari Rawang ke Serendah ini adalah mercu tanda unik dalam sejarah pembinaan jalan raya kerana pengguna seakan-akan membelah kabus apabila memandu pada waktu pagi dan selepas hujan. Ia turut mempunyai panorama indah bandar Rawang," kata Fadillah.

Lebih 30,000 pengguna kenderaan bakal menikmati akses lebih sempurna dengan pembukaan Jalan Pintas Rawang. Jalan sepanjang 9km memendekkan masa perjalanan ke utara daripada dua jam ke 30 minit. Projek ini dibuka bebas dari sebarang kemalangan, dibangunkan menggunakan kemahiran tempatan dan menerapkan kelestarian alam sekitar, flora dan fauna, dan populasi sekeliling.

Jalan ini juga memiliki ciri-ciri unik. Ia adalah pembinaan struktur tiang tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 58.2 meter dari aras tanah. Projek dilaksana secara berperingkat dan melibatkan jajaran baru dua lorong dua hala sepanjang 9km dan struktur bertingkat 2.7km serta kerja menaiktaraf jalan persekutuan FT001 sepanjang 12.5km.

Jalan pintas ini turut memperlihatkan satu struktur jambatan bertingkat yang duduk megah diatas hutan simpanan terpelihara, hampir menyentuhi awan. Struktur jambatan bertingkat ini dibina dengan kaedah yang digunakan buat pertama kalinya di Malaysia.

Mesra alam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil pelbagai langkah supaya kesan-kesan dari pembinaan jalan dan jambatan tidak menjejaskan alam sekitar. Kawasan hutan yang terlibat dalam pembinaan Jalan Pintas Rawang dikurangkan dari 65 hektar ke 24 hektar. Pihak JKR dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) membina jambatan di dalam kawasan hutan bagi meminimakan kerja-kerja penambakan dan pemotongan cerun.

Kaedah-kaedah pembinaan terbaru telah diperkenalkan seperti penggunaan 'geo-grid', 'hand dug cassion' dan 'precast interlocking slab' untuk perlindungan sungai, alam sekitar dan lain-lain lagi. Pembinaan 'silt trap' dan 'silt fence' di lokasi tertentu juga dilakukan bagi mengawal kelodak pasir dari memasuki sungai. Ini diikuti dengan penanaman rumput yang segera bagi membantu mengekalkan keadaan alam sekitar.

Aspek pemeliharaan hutan Taman Warisan dan alam sekitar amat dititikberat dengan penambakan dan pemotongan cerun yang minima bagi pembinan jambatan bertingkat. Jalan pintas ini melihat penebangan pokok di tahap minima, laluan sungai sedia ada dikekalkan dan perangkap kelodak kekal juga turut dibina.

Peletupan batu dilakukan pada tahap pencemaran bunyi yang sangat rendah and dijalankan secara 'control blasting' dan berjadual. Lebih penting lagi, spesis pokok unik Giam Kanching - atau hopea sublata - yang hanya terdapat di kawasan ini turut terpelihara.

"Kerajaan mengambil kira impak kepada alam sekitar demi memelihara ekosistem kerana pembinaannya melalui Taman Warisan Negeri Selangor,” kata Fadillah.

Jalan pintas ini dibina dengan kos sebanyak RM628.14 juta dan akan dibuka sepenuhnya kepada lalu lintas mulai 6 pagi esok.

Turut hadir semasa upacara perasmian, Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk P Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Dr Roslan Taha.

-CIDB


KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment