Sasaran 100,000 Peserta Himpunan Anti Kleptokrasi Hanya Gurauan - Mat Sabu


Selepas Himpunan Anti-Kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya, Sabtu lalu hambar, Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu memberi alasan bahawa sasaran awal 100,000 peserta hanyalah propaganda semata-mata untuk menarik minat peserta muda semata-mata.

Memetik laporan New Straits Times (NST), Mohamad atau lebih dikenali dengan gelaran Mat Sabu berkata, golongan muda tidak berminat untuk menghadiri ceramah lantas ianya ditukar kepada 'himpunan' bagi mendapatkan jumlah hadirin tinggi.

"100,000 peserta cuma propaganda sahaja kerana kita mahu adakan himpunan. Golongan muda tidak suka menghadiri 'ceramah' kerana mereka lebih sukakan demonstrasi jalanan. Saya tahu sangat kerana saya juga menempuhi pengalaman sama semasa muda sehinggalah sekarang.

"Sebenarnya sasaran kami hanyalah antara 20,000 dan 30,000 orang dan saya berpuas hati dengan jumlah yang hadir kerana kita telah mengumpul derma sebanyak RM68,000," ujarnya ketika Konvensyen Tahunan PAN, semalam.

Penganjur himpunan menganggarkan jumlah hadirin seramai 25,000 orang sepanjang hari Sabtu lepas, walaubagaimanapun media pembangkang menyangkal sasaran berkenaan dan cuma meletakkan jumlah 8,000 peserta mengambil bahagian pada waktu puncak, iaitu ketika sesi ceramah barisan presiden parti komponen Pakatan Harapan.

Mat Sabu kemudiannya terus memberi alasan terhadap sambutan hambar himpunan berkenaan berpunca daripada kekurangan promosi kepada komuniti Cina.

Jelasnya, beliau optimis masyarakat Cina sudah memberikan sokongan terhadap Pakatan Harapan, lantas promosi Himpunan Anti Kleptokrasi lebih terarah kepada penduduk luar bandar dan pedalaman.

"Jadi, sasaran utama adalah Melayu, terutama dikawasan pedalaman dan saya gembira kerana 70 peratus hadirin terdiri daripada mereka yang tinggal diluar bandar-bandar utama," jelasnya.

Himpunan yang menggabungkan kesemua parti komponen Pakatan Harapan lebih banyak membicarakan mengenai isu berulang terutama isu 1MDB yang diperjelaskan berkali-kali.

Himpunan berkenaan juga menjadi medan mencaci dan memaki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menggelarkan Najib sebagai 'lanun Bugis'.

Kenyataan tersebut bukan sahaja mencetuskan kemarahan masyarakat Bugis setempat, malah Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla serta pertubuhan NGO Bugis Indonesia turut tersinggung dan menggesa Dr Mahathir memohon maaf.

Selain itu, himpunan berkenaan juga turut dicemari dengan insiden salah seorang peserta duduk diatas Jalur Gemilang yang kemudiannya dikecam hebat rakyat Malaysia.
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment