PSM Tolak Jemputan Azmin Ali Untuk Berbincang


KLANG: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menolak jemputan Datuk Seri Azmin Ali untuk berbincang mengenai kerusi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan dakwaan menteri besar Selangor itu tidak ikhlas.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan berkata Azmin hanya semata-mata “mengitar semula” janji-janji lama yang dibuat kepada parti itu.

“Selepas PRU 2008, kami menulis banyak kali kepada Pakatan Rakyat untuk menyertai pakatan pembangkang tetapi tiada apa yang berlaku,” katanya pada sidang media untuk mengumumkan calon mereka untuk Pelabuhan Klang.

Semalam, Azmin dilaporkan berkata jemputannya untuk berbincang mengenai rundingan kerusi untuk memastikan pertandingan 1 lawan 1 antara pembangkang dengan Barisan Nasional harus dilihat dengan positif.

“Sama ada PSM atau mana-mana parti lain yang berusaha ke arah pembaharuan dan perubahan, selagi mereka bukan Umno, kami bersedia untuk berbincang,” katanya.

Arutchelvan berkata meskipun tidak ada rundingan rasmi antara PSM dan Pakatan Harapan, parti itu akan menyokong pembangkang sebanyak 97% kerusi parlimen pada PRU14.

“Kami meletakkan calon kami hanya 3% daripada 222 kerusi parlimen,” katanya.

Bulan lepas PSM mengumumkan akan bertanding di 3 kerusi parlimen di Selangor iaitu Subang, Hulu Langat dan Hulu Selangor pada PRU14.

Ahli Parlimen sekarang untuk Subang, Hulu Langat dan Hulu Selangor masing-masing ialah R Sivarasa dari PKR, Che Rosli Che Mat (PAS) dan P Kamalanathan (MIC).

Mereka juga berkata akan meletakkan calon mereka di 4 kerusi negeri Selangor – Semenyih, Kota Damansara, Sri Muda dan Pelabuhan Klang.

PSM berkata mereka akan meletakkan calon penduduk tempatan, Shanmuga Sundran untuk kerusi Pelabuhan Klang.

Shanmuga memberitahu pemberita beliau akan berkhidmat dengan baik untuk penduduk Pelabuhan Klang.

“Dua Adun sebelum ini bertanding di bawah PKR tetapi kemudiannya keluar dari parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas.

“Ini menimbulkan masalah kepada pengundi kerana mereka tiada tempat mengadu apabila mereka ingin membuat aduan,” katanya sambil menambah pejabat Adun kini ditutup.

Kerusi DUN Pelabuhan Klang kini dipegang bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang keluar PKR selepas krisis menteri besar pada 2014 dan kini menjadi calon bebas.

Semasa PRU 2008, calon PKR, Badrul Hisham Abdullah memenangi kerusi itu tetapi beliau keluar parti itu pada Oktober 2009 untuk menjadi calon bebas.
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment