Tunku Mahmud Sallehuddin Dimasyhur Sebagai Pengganti Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah

Tunku Sallehuddin dimasyhur Sultan Kedah ke-29

ALOR SETAR: Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, sebentar tadi dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 menggantikan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang mangkat semalam.

Pengumuman pemasyhuran itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dalam satu istiadat khas di Balai Penghadapan Baharu, di Istana Anak Bukit, di sini.

Sejurus pengumuman itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang juga Ketua Istiadat, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, mengiring Tunku Sallehuddin, untuk bersemayam di singgahsana, sebelum disusuli laungan "Daulat Tuanku" oleh hadirin sebanyak tiga kali.

Tunku Sallehuddin diputerakan di Alor Setar pada 30 April 1942 adalah anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah iaitu Sultan Kedah hasil perkongsian hidup dengan Sultanah Asma Sultan Sulaiman, yang juga puteri Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.
Tunku Sallehuddin yang dibesarkan di Istana Anak Bukit dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah pada 15 Disember lalu.

Baginda yang berkahwin dengan Tengku Maliha Tengku Ariff, menggantikan Almarhum Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah, yang mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, akibat gering.

Tunku Sallehuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan meneruskan pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid.

Sebelum ditabal sebagai Raja Muda Kedah, baginda dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan Allahyarham Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada Mei 2014.

-sumber Berita Harian Online
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment