Pakatan Harapan Putuskan Tiada Kerjasama Dengan PAS Pada PRU14


PETALING JAYA: Empat parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) memutuskan tidak akan bekerjasama dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Majlis Presiden PH ketika mengumumkan keputusan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat lebih 4 jam malam tadi turut memaklumkan ia sedang merangka strategi bagi menghadapi pertandingan 3 penjuru dengan PAS dan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berkata: “Kami berjaya menyelesaikan masalah berhubung pelantikan pemimpin negeri.”

Kebanyakan pemimpin tertinggi PH, termasuk Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menghadiri mesyuarat itu, kecuali Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Sementara itu, Naib Presiden PH, Salahuddin Ayub menyifatkan keputusan itu sebagai berita baik dan keputusan tegas.

Beliau yang juga timbalan presiden Amanah berkata, keputusan itu dibuat bersama 4 parti komponen PH dan ia akan dilaksanakan di semua negeri, termasuk Selangor yang dipimpin Azmin.

Beberapa pemimpin PKR dilapor mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan PAS yang menurut Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin turut direstui ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Biro Politik parti reformasi itu.

Sabtu lalu, Azmin mendakwa rundingannya dengan PAS mendapat mandat parti, selepas timbul spekulasi PKR cuba mengadakan perjanjian berasingan dengan parti Islam itu bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN pada PRU14.

“Mereka selalu kata rundingan itu inisiatif saya, tetapi sebenarnya bukan inisiatif peribadi saya. Rundingan itu keputusan PKR. Saya mewakili parti,” kata Azmin yang menyifatkan perbincangan “tidak rasmi” itu hanya melibatkan PKR dan PAS.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution pada Isnin menafikan parti itu berbincang dengan PAS, sebaliknya rundingan pembahagian kerusi hanya membabitkan parti komponen PH.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong meletak jawatan dalam Biro Politik PKR, badan tertinggi yang memutuskan hala tuju parti itu, susulan keputusan kepimpinan parti cuba bekerjasama dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru pada PRU14.

Ia selepas Azmin bersama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menemui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, 3 minggu lalu.

PAS memutuskan kerjasama politik hampir 2 dekad dengan PKR pada Mei lalu, selepas menuduh parti reformasi itu melanggar syarat “tahaluf siyasi”.

-FMT
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment