Insiden Memali Berkait Rapat Dengan Amanat Haji Hadi - Mahathir


KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa “amanat” Datuk Seri Abdul Hadi Awang ada “kaitan rapat” dengan insiden berdarah Memali pada 1985.

Bekas perdana menteri itu juga mendakwa “Amanat Haji Hadi” di Banggol Peradong pada 1981 itu mendorong tindakan melawan kerajaan yang dianggap “jihad”.

Dr Mahathir mengulas cadangan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) peristiwa itu, yang mengorbankan 18 orang termasuk Ibrahim Libya dan empat polis. 

“Untuk memulakan siasatan RCI Memali saya siar di sini ‘Amanat Haji Hadi’. Ia ada kaitan rapat dengan peristiwa Memali.

“Amanat ini menggalakkan perjuangan lawan kerajaan sebagai jihad dan kematian pejuang adalah syahid,” kata Dr Mahathir dalam blognya. 

Bekas presiden Umno itu turut menyiarkan “amanat” itu versi jawi dan rumi.

Dr Mahathir memetik ucapan pemangku perdana menteri Tun Musa Hitam di Parlimen waktu itu yang menyatakan polis diserang hendap pengikut Ibrahim dahulu.

“Yang jelas ialah polis yang terbunuh dahulu, kerana pengikut Ibrahim berjihad kononnya,” katanya, yang “mengalu-alukan” penubuhan RCI.

Dr Mahathir mendakwa ada banyak bukti, laporan dan cerita berhubung tragedi itu, yang berlaku pada 19 November 1985.

Bernada sinis, Dr Mahathir berkata projek pembangunannya seperti Menara Berkembar Petronas, Putrajaya dan lebuh raya PLUS wajar juga disiasat.

“Semua ini perlu disiasat dengan diketuai oleh tokoh keadilan terkenal berslogan ‘just do it’. Buat sahaja apa yang disuruh. Jangan soal,” katanya.

-MMO
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment