Tambak Laut : Kerajaan Negeri Pulau Pinang Diminta Berikan Kerjasama Kepada NRE


Susulan penyerahan bantahan yang dibuat oleh sekumpulan individu yang mewakili Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang kepada pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 6 Julai 2017 lalu, Menteri kementerian berkaitan telah mengarahkan Jabatan-jabatan di bawah Kementerian tersebut (NRE) seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) serta Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) untuk menjalankan kajian terperinci bagi memastikan aktiviti penambakan ini tidak menjejaskan ekosistem hidupan laut serta menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar dan demi menjaga kebajikan nelayan-nelayan pantai.

Dalam kenyataan sama, Menteri juga ada meminta agar Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan NRE yang mewakili Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu yang dihadapi demi untuk kebaikan bersama dan menegaskan bahawa sepatutnya Kerajaan Negeri tidak memulakan sebarang kerja-kerja projek sebelum mendapat lampu hijau daripada NRE atau agensi-agensi di bawahnya. 

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan berhubung perkara tersebut;
Saya telah menerima rombongan daripada wakil Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) di pejabat saya pada 6 Julai 2017. 
Mereka telah menyampaikan bantahan mereka terhadap Projek SRC Consortium yang didakwa semakin giat menjalankan kegiatan  
penambakan laut di sekitar perairan Negeri Pulau Pinang bagi perlaksanaan projek Penang Transportation Master Plan.  
Saya telah difahamkan bahawa aktiviti penambakan ini akan memberi kesan kepada 50,000 ahli keluarga dan para nelayan itu sendiri yang  
selama ini sangat bergantung hidup dengan hasil tangkapan laut. Ini kerana ia melibatkan kawasan penting yang merupakan kawasan pembiakan spesis udang serta beberapa jenis ikan seperti senangin, kembung dan lain-lain lagi. 
Selain daripada merosakkan ekosistem hidupan laut yang sedia ada, aktiviti penambakan ini turut mengubah kualiti air dan menyebabkan berlakunya kesesakan di luar kawasan tambakan kerana ia merupakan kawasan selat yang sempit bagi menampung kapisiti bilangan bot yang kian bertambah.  
Sehubungan itu, bagi memastikan aktiviti penambakan ini tidak menjejaskan ekosistem hidupan laut serta menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar dan demi menjaga kebajikan nelayan-nelayan pantai ini, saya telah mengarahkan Jabatan-jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) serta Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) untuk menjalankan kajian terperinci dan melaporkan kepada saya dengan kadar segera bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi ini.  
Saya meminta agar Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan NRE yang mewakili Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu yang dihadapi ini demi untuk kebaikan bersama dan sepatutnya tidak memulakan sebarang kerja-kerja projek sebelum mendapat ‘greenlight’ daripada NRE atau agensi-agensi di bawahnya. 
WISMA SUMBER ASLI
PUTRAJAYA

- My Fokus Online
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment