Senarai Penuh Anggota RCI Siasat Kerugian Urusniaga Matawang Yang Diperkenan Agong


KUALA LUMPUR 18 Julai - Yang di-Pertuan Agong ke-XV, Sultan Muhammad V memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an berkuat kuasa Sabtu lalu.

Sultan Muhammad V juga memperkenankan Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan sebagai Pengerusi suruhajaya berkenaan.

Berikut merupakan kenyataan penuh penubuhan suruhanjaya itu yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri:

Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memper­kenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Aki­bat Urus Niaga Mata Wang ­Asing Oleh BNM Sekitar Tahun 1990-an, di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), berkuat kuasa mulai 15 Julai lalu.

Selaras dengan peruntukan Akta 119, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan perkara-perkara berikut:-

(A) Keanggotaan:

(i) Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Pengerusi Petronas (Pengerusi).

(ii) Datuk Kamaludin Md. Said, Hakim Mahkamah Tinggi (Ahli).

(iii) Datuk Seri Tajuddin Atan, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad (Ahli).

(iv) Tan Sri Saw Choo Boon, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Ahli).

(v) K. Pushpanathan, Ahli Ins­titut Akauntan Malaysia, Ahli Ins­titut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia serta bekas rakan kongsi firma Ernst & Young (Ahli).

(vi) Datuk Dr. Yusof Ismail, Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan sebagai Setiausaha.

(B) Bidang tugas suruhanjaya:

(i) Menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami oleh BNM sekitar tahun 1990-an serta implika­sinya kepada ekonomi negara.

(ii) Menentukan sama ada penglibatan BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan ‘Central Bank Ordinance’ 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

(iii) Menentukan sama ada terdapat elemen-elemen me­nyem­bunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberi kenyataan yang mengelirukan Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

(iv) Mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak terlibat secara langsung dan atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian BNM serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu; dan

(v) Mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Suruhanjaya ini akan menyelesaikan siasatannya dalam tempoh tiga bulan mulai kuat kuasa penubuhannya dan akan menyem­bahkan laporannya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Pelantikan Mohd. Sidek sebagai Pengerusi dan Choo Boon sebagai Ahli Suruhanjaya ini adalah bagi mewujudkan kesinambungan memandangkan mereka menganggotai Pasukan Petugas Khas mengenai perkara sama sebelum ini.

Keanggotaan ahli-ahli yang lain adalah mengambil kira kelayakan dan pengalaman mereka dalam bidang-bidang berkait rapat de­ngan siasatan yang akan dijalankan oleh suruhanjaya.

KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment