Satu Lagi Rekod Kebangsaan Dilebur "The Speedy Jantan"


KUALA LUMPUR 18 Julai - Kurang setahun selepas memecah rekod 100 meter kebangsaan dan tidak sampai sebulan sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) membuka tirai, langkah Khairul Hafiz Jantan semakin pantas apabila melebur rekod 200 meter kebangsaan lelaki berusia 49 tahun hari ini.

Khairul Hafiz mencatat masa sensasi 20.90 saat dalam perlumbaan akhir Terbuka Malaysia yang juga Kejohanan Olahraga Pra-Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sekali gus memadam rekod lama 20.92s yang dilakukan oleh Tan Sri Dr. M. Jegathesan dalam separuh akhir Sukan Olimpik 1968 di Mexico.

Pada 27 Julai tahun lalu, Khai­rul Hafiz, yang genap 19 tahun pada 22 Julai ini melebur rekod 100m kebangsaan berusia 18 tahun milik Watson Nyambek apabila mencatat 10.18s ketika memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak.

Kejayaan terbaru ini meletakkan atlet dari Melaka itu sebagai pilihan untuk mengulangi pencapaian Nazmizan Muhammad yang muncul jaguh pecut terakhir Malaysia merangkul gelaran berganda 100m dan 200m Sukan SEA dalam temasya di Vietnam 2003.

Sejurus tamat perlumbaan, Khairul Hafiz, menegaskan, dia bukan sahaja memburu emas dalam KL2017 Ogos depan, malah mengidamkan untuk terus memecah rekod kebangsaan acara yang disertainya.

“Saya bersyukur kepada Tuhan atas kejayaan ini dan membenarkan saya melakukannya hari ini.

“Semua kejayaan ini juga adalah hasil tunjuk ajar jurulatih saya dan sokongan keluarga serta rakan-rakan.

“Saya akan berusaha untuk memperbaharui rekod yang saya lakukan ini dalam KL2017 andai diizinkan Tuhan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan akhir 200m.

Catatan 20.90s dilakukan Khairul Hafiz itu turut memperbaharui rekod kejohanan 20.94s dilakukan oleh Kento Terada di Kangar pada 1996.

Tempat kedua 200m akhir lelaki menjadi milik Jonathan Nyepa dari Sarawak dengan catatan 21.29s manakala pingat gangsa milik atlet Perak, Aravinn Thevar, 21.31s.

Bagi saingan akhir 200m wanita menyaksikan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zukifli dari Pulau Pinang meraih pingat emas dengan catatan 24.12s, menewaskan rakan senegara S. Komalam Shally yang mewakili Terengganu, 24.27s manakala pingat gangsa milik atlet dari Johor, Siti Fatimah Mohamed.

Sementara itu dalam saingan 110m lari berpagar, atlet Filipina, Clinton Kingsley Bautista muncul juara dengan masa 14.16s menewaskan wakil Singapura, Ang Chen Xiang di tempat kedua 14.64s.

Pingat gangsa milik atlet Malaysia, Mohd. Rizzua Hizad Muhammad dari Sarawak dengan catatan 14.91s manakala jaguh negara dalam acara tumpuan itu, Rayzam Shan Wan Sofian tidak mengambil bahagian.

Acara tumpuan lain menyaksikan jaguh jarak jauh negara, Ahmad Luth Amizan mengungguli saingan 1,500m.

Selain meraih emas dengan catatan 3 minit 58.55s, atlet berusia 25 tahun itu turut menafikan cabaran dari Filipina, Neri Elbren yang bakal beraksi dalam KL2017.

Tempat kedua diraih oleh pelari dari Sri Lanka, Damith Hemantha Kumara dengan catatan 3:59.15s manakala tempat ketiga menjadi milik Neri (3:59.40s).

KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment