Polis Tak Gentar Ugutan Geng 04


SUNGAI PETANI: Polis tidak gentar dengan ugutan ahli kongsi gelap Geng 04 tetapi akan terus mempergiatkan usaha memburu saki baki kumpulan terbabit.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata tindakan dua lelaki ahli Geng 04 yang membaling bom petrol ke arah pintu utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda adalah satu tindakan yang sangat serius.

"Kita tidak akan bertolak ansur dengan ugutan sedemikian dan polis tidak bersikap 'racist' (perkauman) seperti dituduh geng terbabit melalui kain rentang yang dicampak bersama bom petrol.

"Penguatkuasaan undang-undang merangkumi semua kaum dan tiada siapapun terselamat jika melakukan jenayah," katanya kepada pemberita pada sidang media tergempar di IPD Kuala Muda di sini, sebentar tadi.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid dan Ketua Polis Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa.

BH Online melaporkan dua lelaki yang menunggang motosikal dipercayai ahli kongsi gelap Geng 04 membaling bom petrol ke arah pagar Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini, pagi semalam.

Kejadian jam 3.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati atas penahanan beberapa ahli utama kumpulan berkenaan dalam Ops Cantas Khas, baru-baru ini.

Perbuatan itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan harta benda kerana berlaku di luar pagar berhampiran pos kawalan.

Selasa lalu, seramai 62 orang dipercayai ahli kongsi gelap Geng 04 termasuk beberapa pemimpin kanan ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) menerusi Operasi Cantas Khas di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Semua suspek kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, merakamkan penghargaan kepada JSJ berikutan kejayaan menahan 62 individu terbabit menerusi akaun Twitter miliknya.


-Bharian
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment