PAS Lancar Jentera Tawan Permatang Pauh


Bertemakan "PAS Tawan Permatang Pauh" acara Pelancaran Jentera Pilihanraya PAS Kawasan Permatang Pauh berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat pada 16 Julai 2017 bertempat di Kubang Semang.

Ahli-ahli yang mewakili cawangan-cawangan PAS seluruh kawasan Permatang Pauh hadir dengan berpakaian serba hijau dan membawa bendera PAS masing-masing ke tapak pelancaran.

Seawal jam 4.00 petang, ahli PAS dilihat telah mula berkumpul di tapak pelancaran sambil menikmati juadah Jamuan Hari Raya yang turut diadakan serentak pada hari pelancaran. 

Konvoi "Alternative Riding Club" (ARC) yang bermula dari Jalan Baru, Perai tiba di tapak pelancaran pada jam 4.30 petang , seterusnya disambut dengan ucapan oleh Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Permatang Pauh, Tn Haji Amir Hamzah. 

Usai solat Asar berjemaah, Naib Presiden PAS YB Ustaz Idris Ahmad memeriksa Perbarisan Hormat Jabatan Amal yang kemas dan mantap. Seterusnya majlis mempersilakan beliau menyampaikan ucapan perasmian dan sekaligus menyempurnakan gimik pelancaran iaitu pelepasan belon hijau putih dan "banner" besar Pelancaran Jentera Pilihanraya PAS Permatang Pauh. 

Ustaz Idris Ahmad menegaskan bahawa PAS tidak pernah memakan 'dedak' UMNO seperti yang dicanangkan oleh Pakatan Harapan. PAS tetap meneruskan perjuangan menentang UMNO kerana dasar parti itu, bukan orangnya. Ini selari dengan konsep budaya politik matang dan sejahtera. Beliau juga menyeru ahli PAS agar mendapatkan berita tentang PAS dari sumber parti sendiri agar tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah musuh parti.

Ustaz Idris memberi gambaran PAS akan bertanding lebih daripada bilangan kerusi yang sedia ada. Oleh itu, beliau menegaskan selepas pelancaran ini, semua jentera perlu terus bergerak bagi memastikan kemenangan PAS di dalam PRU 14. 

Acara diteruskan dengan penyerahan panji-panji PAS kepada Pengarah-Pengarah Majlis Tindakan DUN Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti, Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh sebagai simbolik menerima amanah mengetuai gerakerja pilihanraya.

Ikrar dan baiah Jentera Pilihanraya yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Shafirol Rozali, dilaungkan bersama-sama oleh ahli PAS yang hadir dengan penuh semangat dan jitu sebagai bukti komitmen mereka untuk terus melaksanakan gerakerja pilihanraya di peringkat DUN masing-masing. 

Acara pelancaran ditutup dengan bacaan doa yang penuh syahdu oleh Ustaz Badrol Abdul Rahman bagi memohon keredhaan dan bantuan Allah swt dalam setiap langkah gerakerja Jentera Pilihanraya PAS Kawasan Permatang Pauh.

- Pas
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment