Lantik Saya Jadi Pengerusi SPAD dan Pemandu Teksi Akan Sokong Kerajaan - Shamsubahrin


Pengasas dan Penasihat Perkhidmatan Big Blue Taxi Datuk Shamsubahrin Ismail hari ini telah menawarkan diri untuk jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Shamsubahrin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak perlu melantiknya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) daripada jawatan tersebut diberikan kepada Pemangku Pengerusi SPAD Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memandangkan bahawa bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) itu tidak ada pengalaman khusus dan kemampuan berkaitan pengangkutan awam termasuk memahami industri teksi.

Dengan nada yakin, Shamsubahrin menyatakan jika Perdana Menteri bersetuju dengan saranannya dilantik sebagai Pengerusi SPAD, “sejumlah 90 peratus atau hampir 70 ribu pemandu teksi seluruh negara akan gembira dan bertukar untuk menyokong kerajaan.”

Tanpa berselindung mengaitkan faktor Pilihanraya Umum ke 14 kelak, Shamsubahrin berjanji akan memastikan sokongan para pemandu teksi terhadap parti pemerintah.

“Saya akan berusaha ke arah industri teksi lebih berdaya saing dan maju ke hadapan. Apabila ini berlaku, pemandu teksi pasti gembira dan mereka akan mengundi Barisan Nasional,” katanya.


Sambil menyatakan bahawa dia adalah calon yang paling tepat pada ketika ini, Shamsubahrin tegas menyebut, “undi pemandu teksi adalah sangat penting pada Pilihanraya kelak memandangkan ini melibatkan sokongan dari 300 ribu orang termasuk keluarga dan sanak saudara pemandu teksi.”

Menurutnya lagi, jika dia diberikan jawatan Pengerusi SPAD atau pun diberikan peluang menjadi Penasihat kepada Isa Samad untuk Pelan Transformasi Teksi, “kebajikan para pemandu teksi terpelihara dan kita tidak hanya bertumpu kepada e-hailing sahaja.”

Apabila ditanya mengenai kualiti yang ada padanya untuk dipilih sebagai Pengerusi SPAD atau Penasihat kepada Suruhanjaya tersebut, dia membalas: “Saya ada pengalaman luas di dalam industri pengangkutan awam tidak seperti tuan punya syarikat teksi lain yang hanya mementingkan wang ringgit dan tidak ada kemahuan untuk memajukan industri.”

Pengumuman tersebut dibuat di dalam sidang akhbar pagi ini di pejabatnya di Wisma Central KLCC, sehari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Shamsubahrin daripada semua pertuduhan iaitu lima tuduhan menipu dan pengubahan wang haram melibatkan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Namun Penasihat Big Blue Taxi mengakui bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk menyakinkan Perdana Menteri bahawa dia adalah calon yang lebih layak dari Isa Samad.

“Saya akan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri hari ini dan memohon pertemuan tertutup dengan beliau untuk membincangkan idea saya dalam masa terdekat,” tambahnya.

KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment