Kim Swee Dirayu Lupakan Khidmat Lima Pemain Kedah


Kuala Lumpur: Pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusoff merayu kepada jurulatih Datuk Ong Kim Swee supaya melupakan khidmat lima pemainnya bagi menghadapi misi kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun di Bangkok dari 19-23 Julai ini.

Ia ekoran krisis kecederaan yang dialami oleh pasukan bimbingannya ditambah pula jadual pertandingan domestik yang padat sepanjang bulan ini.

Nidzam berkata, Kedah kini berada dalam keadaan kritikal dengan kecederaan yang melanda enam tonggak utama, Zac Anderson, Ken Ilso, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Farhan Roslan dan terbaru ketua pasukan Khairul Helmi Johari.

Ini memaksa mereka bergantung kepada pemain muda seperti Ariff Farhan Md Isa, Amirul Hisham Awang Kechik, Shafiq Ahmad dan penjaga gol utama, Ifwat Akmal Che Kassim yang turut ditagih khidmat oleh Kim Swee.

Turut disenaraikan dalam skuad B-23 negara adalah Farhan walaupun pemain itu belum pulih daripada kecederaan yang dialami sejak Mei lalu.

“Saya amat memahami situasi dihadapi oleh Datuk Ong yang mana beliau memerlukan barisan terbaik untuk kejohanan di Bangkok itu. Namun, Kedah sendiri kini sedang berada dalam keadaan genting bila ramai pemain utama mengalami kecederaan.

“Ia memaksa saya merombak pasukan dengan menurunkan ramai pemain muda dalam perlawanan menentang Perak, semalam (kelmarin) yang mana sedikit sebanyak menjejaskan rentak kami.

“Malah dalam perlawanan Piala Malaysia menentang Melaka United, Selasa ini (esok), nampaknya sekali lagi saya terpaksa menggunakan pemain muda.

“Zac, Ken, Bad (Baddrol), Rizal, Paan (Farhan) belum pulih dan perlu berehat lagi. Sekarang, Keon (Khairul Helmi) pula cedera.

“Bayangkan jika lima pemain yang disenaraikan Datuk Ong pula meninggalkan kami untuk menyertai skuad B-23, bagaimanakah keadaan pasukan Kedah.

“Apatah lagi jadual bulan ini amat padat dengan perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia. Rehat yang tidak cukup ditambah dengan masalah kecederaan, sudah pasti ia sangat sukar kepada kami,” katanya.

Jurulatih itu berjanji akan melepaskan semua pemain yang diperlukan Kim Swee untuk menghadapi Sukan SEA 2017 bulan depan.

“Saya bagi jaminan semua pemain akan dilepaskan untuk Sukan SEA, cuma untuk kelayakan AFC B-23 ini, tolonglah kecualikan mereka,” katanya.

KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment