MIC Selar Pembangkang Dakwa Pelan Tindakan Masyarakat India Hanya Gimik Pilihanraya


KUALA SELANGOR: MIC hari ini menyelar pembangkang yang berterusan mendakwa Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) adalah gimik pilihan raya Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata tindakan pembangkang itu dilihat terdesak apabila sering mengaitkan inisiatif kerajaan membantu dan membangunkan rakyat khususnya masyarakat India dengan sentimen politik.

Malah katanya, provokasi pembangkang itu ibarat tiada langsung 'waktu sesuai' untuk kerajaan mengumumkan inisiatif yang menguntungkan rakyat melainkan dituduh bersifat 'gula-gula pilihan raya'.

"Sejak MIB diumumkan perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) pada 23 April lepas, tiada satu pun khabar baik daripada pembangkang yang mengatakan pelan ini bagus untuk membangunkan kaum India.

"Mereka mengelirukan rakyat dengan mengatakan MIB takkan wujud lagi selepas pilihan raya. Ini niat tidak baik pembangkang terhadap kita.

"Jika rakyat India tidak percaya dengan pengumuman kerajaan, bagaimana lagi kita mahu bantu? Fikir-fikirkan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian pusat khidmat bagi Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) cawangan Ijok, di sini hari ini.

Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan menyeru kaum India supaya berfikiran matang dan tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang kerana hanya kerajaan BN yang mampu membela nasib kaum itu supaya turut sama mengecapi kemajuan seiring bangsa lain.

MIB bertujuan membantu dan membangunkan masyarakat India terutamanya golongan B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) secara menyeluruh dan inklusif untuk tempoh 10 tahun akan datang malah ia dihasilkan sejak Mei 2015.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bilangan pusat khidmat SITF akan ditambah secara berperingkat mengikut keperluan di lokasi yang mempunyai kepadatan penduduk India yang tinggi di seluruh negara.

Katanya, setakat ini, lapan pusat khidmat SITF telah beroperasi dan tiga lagi sedang diubah suai serta dijangka mula beroperasi dalam tempoh satu bulan akan datang.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada MIC akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Ijok, Dr Subramaniam berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kawasan itu kembali ke tangan BN.

"Ini kerusi tradisi MIC. Kita akan letakkan calon dan terus pertahankannya," katanya.

-- BERNAMA
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment