Fathia Pertahan Wawancara Bersama Tun M


PETALING JAYA: Nur Fathia Abdul Latiff mempertahankan pendekatannya mengendalikan program wawancara bersama Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun dikritik teruk pengguna Facebook.

Bagi pelakon dan model itu, wawancara bersama Mahathir sememangnya dalam format perbualan santai dan tidak formal.

“Saya bukan wartawan atau ahli politik. Saya tidak cuba berlagak bijak.

“Tetapi benar-benar ingin bertanya soalan yang saya rasa rakyat ingin tahu, dan yang saya tidak tahu,” katanya menerusi laman sosial Instagram.

Namun beliau tetap memohon maaf jika soalan yang diajukannya tidak memuaskan hati penonton.

Menerusi program “Apa Kata Tokoh” selama 45 minit pagi tadi, Fathia mengemukakan soalan bersifat santai dan peribadi, antaranya tentang bagaimana bekas perdana menteri itu merancang pembinaan Menara Kembar KLCC yang menjadi mercu tanda negara.

Apatah lagi wawancara itu beberapa jam selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menamakan beberapa aset mewah lagi yang berkait wang dicuri daripada 1MDB akan dirampas.

Ekoran itu, beliau dikritik pengguna Facebook yang mendesaknya bertanyakan soalan yang lebih bernas dan dengan skop yang lebih luas.

Malah ada yang berkata beliau seharusnya kekal dalam bidang lakonan sahaja.

Fathia menyatakan penghargaannya di atas peluang mewawancara Mahathir.

“Saya gembira kerana dipilih…saya mewakili suara anak muda. Bagi saya, soalan yang datang dari hati tidak semestinya kena ‘study’ dulu,” kata lulusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketika wawancara, Fathia juga mengaku tidak terlalu mengikuti politik semasa, serta berkata rakyat tetap mampu membeli-belah di sebalik pelbagai isu yang melanda negara.

Dalam ruangan komen di Instagram Fathia, Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut memuji “keberanian” beliau mewawancara tokoh sebesar Dr Mahathir.

“Anda memang hebat. Bukan semua orang berani nak wawancara Tun. Terima kasih idola,” katanya.

-FMT
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment