Duit Raya, Zakat Fitrah Ditanggung, Sumbangan Azeez Kepada 1600 Penagih


BALING, 24 Jun — Seramai 1,600 penagih dan bekas penagih dadah di sini menerima sumbangan hari raya pada Program Ambang Aidilfitri Parlimen Baling hari ini. 

Seorang penerima yang hanya mahu dikenali Azmi, 35, berkata bantuan RM100 dan barangan keperluan harian untuk Aidilfitri yang diberikan itu sangat bermakna bagi dirinya memandangkan dia hanya bekerja sendiri. 

“Saya percaya, kalau di tempat lain, golongan penagih air ketum ini langsung tidak dipedulikan oleh masyarakat. Apatah lagi untuk diberi sumbangan. 

“Tapi di sini, berlainan. Sejak tertubuhnya program Sahabat Datuk Azeez yang khusus bagi membantu golongan penagih, banyak sumbangan yang diberi dalam memastikan kami tidak terlibat dalam jenayah lain,” katanya kepada Bernama sempena program itu.

Sementara itu, Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihaknya juga turut membayarkan zakat fitrah kepada penerima berkenaan selain bantuan kewangan.

Abdul Azeez berkata zakat fitrah itu turut dibayar kepada isteri dan anak penerima berkenaan sekiranya mereka sudah berkahwin dan mempunyai keluarga.

“Kami akan sentiasa membantu golongan tersebut dengan satu syarat, mereka (penagih dadah) perlu bersumpah dengan tidak melakukan jenayah lain termasuk pecah tabung masjid dan meragut. Lagipun, mereka bukannya penagih tegar.

“Implikasinya, kawasan Baling sehingga kini mencatatkan kadar jenayah paling rendah membabitkan penagih dadah,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 4,000 penduduk Baling yang terdiri daripada golongan asnaf dan miskin turut menerima bantuan hari raya berkenaan.

“Kami takut ada yang belum dapat atau terlepas pandang daripada program-program yang diadakan sepanjang Ramadan ini, jadi dengan ini kami harap semua penduduk Baling akan dapat sumbangan tersebut,” katanya. 
— Bernama
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment