Daging Lembu, Kerbau Di Pasaran Tempatan Selamat Dimakan


TELUK INTAN: Pengguna tidak perlu berasa gusar dan panik membeli daging lembu serta kerbau yang dijual di pasar di seluruh negara kerana ia dijamin selamat untuk dimakan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mengambil tindakan membendung penyakit hawar berdarah atau Haemorrhagic Septicemia daripada merebak membabitkan lembu dan kerbau yang kembali tular di Terengganu sejak bulan lalu.

Katanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu telah melakukan tindakan pencegahan dengan memvaksin kedua-dua jenis haiwan ternakan itu.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini belum ada maklumat secara terperinci daripada JPV Terengganu mengenai tindakan pencegahan yang telah dilakukan bagi memastikan bekalan daging lembu dan kerbau untuk keperluan pengguna mencukupi.

"Kita tidak boleh duga sesuatu penyakit atau musibah yang berlaku pada bila-bila masa. Sebagai contoh, virus selsema burung (H5N1) yang menjangkiti unggas di Kelantan baru-baru ini dan berjaya membendungnya daripada terus merebak," katanya kepada pemberita selepasa majlis Penyampaian Zakat kementerian dan berbuka puasa di sini hari ini.

Semalam, Ketua Bahagian Kesihatan JPV Terengganu Dr Wan A'aidah Wan Hashim berkata setiap hari, tiga atau empat kumpulan kakitangan akan memvaksin antara 300 hingga 400 ekor lembu dan kerbau di ladang ternakan yang terletak kira-kira lima kilometer radius dari kawasan wabak penyakit itu.

Beliau berkata sejak Rabu lepas, pihaknya telah memvaksin sebanyak 955 ekor lembu iaitu 792 di daerah Marang dan 163 di daerah Kuala Terengganu.

Sejak penyakit itu dikesan pada 26 Mei lepas, sebanyak 261 kes kematian haiwan ternakan dilaporkan oleh 12 penternak di daerah Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang membabitkan 201 kematian lembu manakala 60 lagi melibatkan kematian kerbau.

Tanda-tanda awal penyakit itu ialah edema, panas dan sakit di bahagian leher, tiada selera makan, sugul, pernafasan menjadi kencang, sakit mata dan air liur keluar dengan banyak hingga menyebabkan kematian dan kali terakhir penyakit hawar berdarah dilaporkan di Terengganu ialah 10 tahun lepas.

-- BERNAMA
KONGSI KE GOOGLE+

About My Fokus Admin

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 Komentar :

Post a Comment